Iklan

Wednesday, 4 June 2014

TAZKIRAH: TULISLAH SEJARAH HIDUP ANDA DENGAN KEBAIKAN



    Kehidupan yang kita lalui ini hanya sekali sahaja. Tidak ada peluang kedua dan ketiga. Nyawa yang Allah SWT berikan itu sangat bernilai. Tanpa nyawa, pasti kita akan mati. Dalam pada kita menjalani kehidupan sehari-hari ini, perkara yang paling utama untuk kita laksanakan keikhlasan dalam hubungan iaitu ialah ikhlas dalam hubungan dengan Allah SWT dan ikhlas dalam hubungan sesama manusia dan makhluk. Sekiranya kita ingin supaya sejarah kehidupan kita ini dipenuhi dengan kebaikan, maka ikhlas dalam amalan adalah amat penting untuk dijaga. Tidak ada sesiapa yang mampu untuk memaksa orang lain bersikap ikhlas melainkan diri kita sendiri.

    Dalam suatu kisah, ada tiga orang lelaki yang terperangkap dalam sebuah gua yang ditutupi oleh sebuah batu besar. Tidak ada apa yang mampu menyelamatkan mereka melainkan dengan berdoa kepada Allah SWT agar amalan mereka yang ikhlas itu diterima oleh Allah SWT dan menyelamatkan mereka dari kesusahan batu besar ini.

    Lelaki pertama berdoa, bahawa dia cukup menjaga keperluan kedua orang tuanya. Apa sahaja yang dilakukan keperluan kedua ibubapanya akan diutamakan berbanding keperluan keluarganya sendiri. Antara perkara yang dilakukan ialah memberi susu minuman kepada kedua orang tuanya sebelum tidur dan selepas bangun tidur. Pada suatu hari lelaki ini balik lewat dari pekerjaannya. Apabila sampai ke rumah kedua orang tuanya telah tidur sedangkan telah dibawa bersama susu yang diperah sendiri olehnya untuk kedua orang tuanya. Lalu lelaki ini berdiri di sisi kedua ibu bapanya menunggu sehingga subuh. Apabila mereka berdua bangun susu itulah yang dihulurkan untuk diminum oleh orang tuanya. Maka dia berdoa sekiranya apa yang dilakukan ini merupakan amalan yang ikhlas, maka selamatkanlah mereka daripada batu besar ini. Maka bergerak sedikit batu itu, tetapi masih tidak dapat menyelamatkan mereka.

     Lelaki kedua pula berdoa: bahawa dia menyukai sepupunya, seorang perempuan yang cukup cantik. Malah dia merasakan perempuan itulah yang paling dicintainya. Apabila pada suatu masa, sepupunya itu berada dalam kesulitan. Maka dia datang berjumpa lelaki ini untuk memohon bantuan. Lelaki ini bersetuju dan memberi syarat supaya menyerahkan tubuhnya kepada lelaki ini. Apabila telah dilunaskan bantuan dan sampai masanya untuk disempurnakan syarat pertolongan ini, perempuan ini berkata kepada: “Takutlah kamu kepada Allah” maka lelaki ini tersedar bahawa perbuatannya ini suatu kesalahan. Lantas dia segera meninggalkan bilik itu dan tidak menuntut hutang daripada sepupunya itu. Lalu dia berdoa kepada Allah SWT, sekiranya apa yang dilakukan ini merupakan amalan yang ikhlas, maka selamatkanlah mereka daripada batu besar ini. Maka bergerak sedikit batu itu, tetapi masih tidak dapat menyelamatkan mereka.

      Lelaki ketiga pula berdoa: bahawa dia memiliki beberapa orang pekerja di ladangnya. Tetapi ada seorang pekerja ini tidak pernah mengambil upah daripadanya. Pada suatu hari pekerja dia ini pergi dan hilang, lalu duit upahnya ini digunakan oleh lelaki ini untuk mengembangkan perniagaannya sehingga menghasilkan perniagaan yang besar. Pada suatu hari pekerja ini datang kembali dan menuntut upah pekerjaannya, lalu lelaki ini memberikannya semua hasil perniagaan yang terhasil dari upah lelaki ini. Lalu dia berdoa: sekiranya apa yang dilakukan ini merupakan amalan yang ikhlas, maka selamatkanlah mereka daripada batu besar ini. Maka bergerak sedikit batu itu, dan dapat menyelamatkan mereka dari batu tersebut.

    Kisah ini sebenarnya menggambarkan betapa keikhlasan dalam setiap amalan dan perbuatan baik dengan Allah SWT atau sesama makhluk adalah amat perlu dilakukan oleh kita semua. Kebaikan-kebaikan yang dimulakan dengan keikhlasan merupakan amalan yang akan dikenang baik dalam sejarah kehidupan kita. Janganlah kita mencontohi dan mengambil sikap orang munafik yang gemar berpura-pura baik tetapi hatinya dipenuhi kekufuran. Sikap munafik ini sebenarnya akan menyebabkan sejarah kehidupan kita buruk dan tidak elok untuk dikenang. Latihlah diri menjadi orang yang ikhlas, ikhlas dalam beriman dengan Allah SWT, dan ikhlas dalam hubungan sesama makhluk. Mudaha-mudahan, sejarah kehidupan kita akan dipenuhi dengan kebaikan.

Sekianlah sahaja tazkirah ringkas dari saya. Mudah-mudahan apa yang disampaikan ini boleh dijadikan renungan dan panduan untuk semua. Ampun dan maaf atas kesilapan dan kesalahan. Wallahua’alam. Wabillahi taufik wal hidayah wassalamualaikum wr. Wb.

(tulisan ini adalah tazkirah ringkas yang saya sampaikan pada rancangan "Raikan Jiwa" di Johor.Fm pada tahun 2014)

Saturday, 31 May 2014

TAZKIRAH: TUHAN TIDAK BERBUAT ANIAYA



Kita sebagai hamba Allah SWT seharusnya tahu peranan dan tujuan kita dihidupkan di muka bumi Allah SWT ini. Kita ini diciptakan dan dihidupkan oleh Allah SWT atas dua perkara utama. Pertamanya sebagai hamba Allah, yang diperintahkan untuk menyembah Allah SWT, tidak mensyirikkan dan menyekutukannya dengan sesuatu yang lain. Keduanya, kita juga diamanahkan oleh Allah SWT sebagai khalifah, untuk mentadbir dan mengurus nikmat-nikmat kurniaan Allah SWT sesuai dengan syariatnya.

      Apabila kita sedar dan tahu akan peranan dan tujuan kita dihidupkan, kita juga akan sedar bahawa segala apa yang dilakukan oleh Allah SWT itu sebenarnya ada hikmah dan rahsia di sebaliknya. Semua ini dijelaskan oleh Allah SWT sebagai ujian untuk kita semua sebagai hamba-Nya dan sebagai khalifah Allah di muka bumi, sama ada kita benar-benar beriman kepada-Nya atau pun tidak.

      Allah SWT sama sekali tidak membuat aniaya kepada hamba-Nya. Sebagai pencipta, Allah SWT tahu akan fitrah ciptaan-Nya, sesuai atau pun tidak untuk hamba-Nya itu. Segala ujian yang datang diberikan sesuai dengan tahap penerimaan dan kesanggupan seseorang itu. Ada masanya ujian itu datang dalam bentuk kesenangan dan kemewahan. Mereka diuji dengan pelbagai bentuk kekayaan, kemewahan, kesenangan dan sebagainya. Segala bentuk kesenangan itu diberikan kepada mereka. Apabila diberikan ujian sebegini, kita boleh memilih sama ada bersikap seperti firaun dan qarun, atau bersikap seperti Nabi Daud dan Nabi Sulaiman AS.

Sekiranya ada yang memilih bersikap seperti fir’aun dan qarun, bersikap sombong dan takbur dengan kekayaan yang diberikan, sombong dan takbur mengatakan kekayaan itu adalah hasil usaha mereka sendiri, bukannya datang daripada Allah SWT, maka sudah pasti akibat kehidupan orang yang memilih jalan ini, akan bersama-sama dengan firaun dan qarun di hari akhirat kelak. Harta yang diberikan tidak lagi mendapat keberkatan, semuanya dirasakan tidak cukup, menjadi bakhil dan kedekut, dan seterusnya kehidupan mereka juga tidak diredhai oleh Allah SWT. Na’uzubillah min zalik.

Sekiranya kita memilih untuk bersikap seperti Nabi Daud dan Nabi Sulaiman AS, walaupun dikurniakan kekayaan dan kemuliaan sedunia dan seisinya, mereka tetap teguh beriman dengan Allah SWT, bersyukur atas nikmat pemberian-Nya malah berterusan bersedekah dan berjariah kepada orang lain. Malah, apabila lebih banyak harta yang diberikan Allah SWT, menjadikan mereka lebih beriman dan semakin kuat ibadahnya kepada Allah SWT. Inilah sikap dan sifat yang benar dan betul apabila diuji dengan kesenangan dan kekayaan.

     Tetapi dalam masa yang sama, ada ujian Allah SWT itu datang dalam bentuk kesusahan dan kepayahan, kesukaran dan kefakiran, kemiskinan dan kemalaratan, kesakitan dan sebagainya. Apabila ditimpa ujian yang sebegini, kita juga boleh memilih sama ada untuk bersikap seperti Nabi Ayub AS atau bersikap terus menerus menyalahkan takdir Allah SWT.

     Jika kita memilih untuk menyalahkan takdir, mengatakan Allah SWT berbuat aniaya kepada kita, ini sebenarnya mengundang kecelakaan untuk kita. Apabila kita menunding jari menyalah Allah SWT, pastinya kita tidak akan berbuat apa-apa untuk mengubah keadaan tersebut. Kita hanya menerima ujian kepayahan dan kesusahan tersebut, tanpa membuat apa-apa usaha untuk mengubahnya, malah hanya mengharapkan Allah SWT mengubah keadaan susah ini kepada sebaliknya.

   Seharusnya, apabila ditimpa ujian kesusahan ini, kita sewajarnya memilih sikap sebagaimana Nabi Ayub AS. Walaupun ditimpa ujian kesakitan, ditinggalkan ahli keluarganya, menjadi miskin dan papa kedana, Baginda AS tetap memilih untuk beriman dengan Allah SWT, memilih untuk sentiasa berzikir, bertasbih, bertahmid dan bertakbir kepada Allah SWT. Sikap sebeginilah yang perlu kita terapkan dalam diri kita. Walau sesusah dan sepayah mana pun ujian yang diberikan, kita seharusnya mesti kekal beriman dan bertaqwa kepada Allah SWT.

     Ingatlah, segala apa yang berlaku, ada hikmah dan rahsia di sebaliknya. Allah SWT sama sekali tidak akan menganiaya hamba-Nya, tetapi sebenarnya apa yang berlaku itu adalah ujian untuk kita semua. Mana mungkin hamba Allah SWT itu dibiarkan tanpa sebarang ujian, kerana ujian itulah penentu tahap keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT.

Sekianlah sahaja tazkirah ringkas dari saya. Mudah-mudahan apa yang disampaikan ini boleh dijadikan renungan dan panduan untuk semua. Ampun dan maaf atas kesilapan dan kesalahan. Wallahua’alam. Wabillahi taufik wal hidayah wassalamualaikum wr. Wb 

(tulisan ini adalah tazkirah ringkas yang saya sampaikan di dalam siaran radio Johor.FM pada rancangan "Raikan Jiwa")