Iklan

Saturday 21 June 2014

TAZKIRAH: DENGARLAH BACAAN AYAT-AYAT SUCI ALLAH

Al-Quran merupakan kalam Allah dan mukjizat yang kekal sepanjang zaman. Al-Quran merupakan kitab suci yang Allah SWT memberi jaminan keasliannya, yang ia tidak akan mengalami sebarang perubahan. Membacanya dikira ibadah dan mendapat pahala yang berlipatkali ganda. Rasulullah SAW menyatakan, sesiapa yang membaca satu huruf daripada Al-Quran akan mendapat ganjaran pahala yang diganda-gandakan.

     Sebagai umat Islam, kita hendaklah menjadikan Al-Quran sebagai teman rapat dan kawan karib kita. Untuk menjadikannya kawan karib dan teman rapat, Al-Quran hendaklah kita bawa ke mana-mana. Apabila sudah dibawa ke mana-mana, bukalah Al-Quran itu dan bacalah ia. Ini kerana, isi kandungannya amat bermutu tinggi dan sangat bernilai. Sekiranya kita tidak mampu membacanya atas sebab-sebab yang tidak boleh dielakkan, maka dengarkanlah bacaan Al-Quran. Jadikanlah bacaan Al-Quran itu berada di mana-mana di sekeliling kita, di rumah, di dalam kereta, di dalam telefon bimbit, di dalam ipod atau alat pemain muzik dan sebagainya. Jadikanlah juga bacaan Al-Quran itu sebagai keutamaan untuk kita dengar berbanding yang lainnya.

    Jika kita perhatikan, setiap patah perkataan Al-Quran yang dialunkan dengan merdu dan indah, akan dapat menghasilkan ketenangan jiwa. Jiwa yang tenang akan menghasilkan manusia yang seimbang. Tahap tekanan atau stress level berada pada tahap yang terkawal. Apabila manusia memiliki jiwa tenang, keputusan yang dibuatnya juga akan lebih adil dan saksama. Tidak diselaputi perasaan marah, benci, dendam dan sebagainya. Inilah antara keajaiban Al-Quran. Allah SWT menyatakan, dengan mengingati Allah setiap masa itu akan menjadikan hati dan jiwa yang tenang dan tenteram.

     Sesungguhnya Rasulullah SAW sendiri sering menyuruh sahabatnya yang memiliki kemerduan suara supaya membaca Al-Quran. Malah pernah diriwayatkan, ketika seorang sahabat bernama Abu Musa Al-Asy’ari membaca Al-Quran dengan suaranya yang merdu, Baginda SAW duduk dan dengar dengan diam bacaan yang dibaca oleh sahabatnya itu. Inilah sifat dan sikap yang seharusnya kita contohi.

    Pada hari ini kita dikelilingi oleh kepelbagaian kemudahan teknologi. Semua kemudahan teknologi ini sebenarnya membantu kita untuk memudahkan bacaan Al-Quran itu didengar di mana. Tetapi janganlah sesekali kita mengambil sikap endah tak endah akan perkara ini. Apabila bacaan Al-Quran itu dikumandangkan di TV dan Radio, cepat sekali kita menukar siaran, enggan meneruskan pendengaran ayat-ayat suci Al-Quran, walhal ia juga adalah Sunah Rasulullah SAW.

Dalam hal ini, kita perlu tanya diri kita sendiri, apakah sikap kita apabila kita mendengar bacaan Al-Quran itu dialunkan. Adakah kita mengambil bacaan itu sebagai gangguan bunyi dan suara atau kita diam serta dengar dengan taat bacaan tersebut. Adakah imam atau bilal yang mengalunkan bacaan Al-Quran di Masjid dan Surau kita sebelum azan itu kita anggap sebagai gangguan atau kita anggap ia sebagai peringatan untuk kita bersegera ke Masjid menunaikan solat fardu. Sekiranya kita boleh menonton dan mendengar muzik dan lagu yang memuja wanita dan perasaan cinta selama berjam-jam, kenapa kita tidak boleh mendengar Al-Quran dan ayat-ayat suci Allah SWT ini selama berjam-jam.

Sekiranya kita lebih rela mendengar hiburan alunan muzik dan lagu selama berjam-jam sudah pasti di sini kita boleh nilai dimanakah kedudukan Al-Quran dalam kehidupan kita. Hari ini kita melihat orang lebih rela membayar tiket ratusan dan ribuan ringgit untuk pergi ke konsert mendengar lagu dan muzik berbanding pergi ke majlis tilawah Al-Quran yang menawarkan tempat duduk percuma tanpa bayaran. Jadi, persoalannya di manakah Al-Quran dalam kehidupan kita.

Oleh itu, kita sebagai umat Islam hendaklah memperbetulkan kembali sikap kita terhadap Al-Quran. Jadikanlah alunan ayat-ayat suci Al-Quran itu sebagai bahan wajib untuk kita dengar setiap hari. Tidak salah untuk kita berhibur tetapi janganlah hiburan itu melalaikan kita daripada mendengar ayat-ayat suci Al-Quran. Inilah kalam Allah SWT yang padanya mengandungi panduan dan pedoman untuk kita mendapat kehidupan yang diredhai oleh Allah SWT.

Sekianlah sahaja tazkirah ringkas dari saya. Mudah-mudahan apa yang disampaikan ini boleh dijadikan renungan dan panduan untuk semua. Ampun dan maaf atas kesilapan dan kesalahan. Wallahua’alam. Wabillahi taufik wal hidayah wassalamualaikum wr. Wb.

(tazkirah ini saya sampaikan dalam rancangan "Raikan Jiwa" di Radio Johor.FM)

Friday 20 June 2014

SUDUT ILMU: PANDUAN SOLAT SUNAT ISTISQAK

(sumber: Bahagian Pengurusan Masjid Jabatan Agama Islam Johor)




    PENDAHULUAN
Solat Sunat Istisqak merupakan solat sunat yang dilakukan sebagai permohonan khusus kepada Allah SWT untuk memohon diturunkan hujan. Menurut Imam Asy-Syafie, permohonan hujan ini dikemukakan pada ketika musim kemarau atau pada ketika diperlukan hujan akibat kepanasan suhu yang melampau atau pada ketika keputusan mata air atau pada ketika diperlukan hujan untuk keperluan manusia. 

Dalil atau hujah disunatkan untuk Solat Sunat Istisqak ini sebagaimana hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari, Muslim, At-Tirmizi dan Abu Daud, bahawa Nabi SAW telah keluar melaksanakan solat sunat istisqak, dikuatkan suara pada bacaan solatnya, mengangkat tangan tinggi ketika berdoa memohon hujan.”


PERKARA-PERKARA SUNAT SEBELUM PELAKSANAAN SOLAT SUNAT ISTISQAK
(1) Hendaklah diberikan peringatan kepada masyarakat supaya bertaubat atas kezaliman dan maksiat yang dilakukan. Ini kerana, kezaliman dan maksiat itu menghalang turunnya hujan. 

(2) Memperbanyakkan sedekah sebagai tanda ketaatan kepada Allah SWT. 

(3) Hendaklah berpuasa selama tuga (3) hari. Pada hari keempat, dalam keadaan berpuasa, keluar beramai-ramai untuk mengerjakan solat sunat istisqak. Disunatkan berpuasa kerana menurut sebuah hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Al-Baihaqi, doa orang yang berpuasa itu tidak akan ditolak.

(4) Tempat pelaksanaan Solat Sunat Istisqak ini disunatkan untuk dipilih tempat yang lapang, kerana ia boleh turut dihadiri oleh semua umat Islam. Jika sukar, ia boleh juga dilaksanakan di Masjid dan Surau kerana memudahkan untuk khutbah dibaca.

(5) Sebelum keluar solat, disunatkan juga untuk mandi dan bersiwak serta membersihkan diri.

(6) Ketika keluar untuk Solat Sunat Istisqak, disunatkan memakai pakaian yang sederhana, tidak bermewah-mewah dan seumpamanya. Pakaian sederhana itu melambangkan tawadu’ kita pada Allah SWT.

(7) Begitu juga disunatkan semasa berdoa untuk menunaikan Solat Sunat Istisqak ini bertawasul dengan Nabi SAW dan amalan-amalan soleh yang dilakukan. Hal ini dilaksanakan oleh Saidina Umar Al-Khattab RA semasa dilaksanakan Solat Sunat Istisqak dengan membaca doa berikut: 


اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْتَسْقِي بِخَيْرِنَا وَأَفْضَلِنَا، اللَّهُمَّ إِنَّا كُنَّا إِذَا قَحَطْنَا تَوَسَّلْنَا إِلَيْكَ بِنَبِيِّنَا فَتَسْقِيْنَا وَإِنَّا نَتَوَسَّلُ بِعَمِّ نَبِيِّنَا فَاسْقِنَا فَيُسْقَوْن
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon hujan dengan bertawasul atas segala kebaikan dan kelebihan kami, Ya Allah, sesungguhnya kami berada dalam kekuasaan-Mu….

WAKTU SOLAT

(1) Secara umumnya, solat sunat Istisqak boleh dilaksanakan sama ada di waktu siang atau malam, kecuali pada waktu-waktu yang ditegah untuk mengerjakan solat sunat.

(2) Namun begitu, para ulamak Syafie menyatakan berikut adalah waktu-waktu yang pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat RA: 
(a) Menyamai waktu solat sunat hari raya. 
(b) Pada waktu tengahari, sebelum tibanya waktu zohor.
(c) Selepas solat zohor, antara waktu zohor dan asar.


KAEDAH SOLAT SUNAT ISTISQAK

(1) Dilaksanakan sebanyak 2 rakaat. Tidak perlu azan dan iqamah. Hanya yang diperlukan ialah seruan “الصلاة جامعة”.

(2) Niat Solat ialah:
أصلي سنة الإستسقاء ركعتين اماما / مأموما لله تعالى

Maksudnya: Sahaja aku solat sunat istisqak dua rakaat sebagai imam / makmum kerana Allah SWT.

(3) Selepas takbiratul ihram, disunatkan takbir 7 kali sambil diselangi bacaan tasbih
سبحان الله والحمد لله ولا إله إلا الله والله أكبر”          

(4) Selepas takbir 7 kali pada rakaat pertama, dibaca Surah Al-Fatihah yang kemudian disusuli dengan Surah Qaf atau Surah Al-A’la.

(5) Pada rakaat kedua, disunatkan takbir 5 kali sambil diselangi bacaan tasbih
"سبحان الله والحمد لله ولا إله إلا الله والله أكبر"         

(6) Selepas takbir 5 kali pada rakaat kedua, dibaca Surah Al-Fatihah yang kemudian diikuti dengan Surah Nuh atau Surah Al-Ghasyiah.

(7) Selesai solat, disunatkan untuk diikuti dengan dua khutbah


KHUTBAH

(1) Disunatkan untuk berkhutbah dengan dua khutbah selepas Solat Sunat Istisqak. 

(2) Khutbah pertama hendaklah dimulakan dengan 9 kali istighfar “
أستغفر الله العظيم” dan khutbah kedua dengan 7 kali istighfar dan disudahi dengan bacaan berikut:
 استغفر الله الذي لا إله إلا هو الحي القيوم وأتوب إليه.
       ﯿ                                

(3) Di dalam khutbah pertama, disunatkan untuk membaca doa berikut:

اللَّهُمَّ اسْقِنَا غَيْثًا مُغِيْثًا هَنِيْئًا مَرِيْئًا مَرِيْعًا غَدَقًا مُجَلَّلاً طَبَقًا سَحًّا دَائِمًا، اللَّهُمَّ اسْقِنَا الْغَيْثَ وَلاَ تَجْعَلْنَا مِنَ الْقَانِطِيْنَ، اللَّهُمَّ إِنَّ بِالْعِبَادِ وَالْبِلاَدِ مِنَ الَّلأْوَاءِ وَالْجَهْدِ وَالضَّنْكِ مَا لاَ نَشْكُوْا إِلاَّ إِلَيْكَ، اللَّهُمَّ أَنْبِتْ لَنَا الزَّرْعَ، وَأَدِرَّ لَنَا الضَّرْعَ، وَاسْقِنَا مِنْ بَرَكَاتِ السَّمَآءِ، اللَّهُمَّ ارْفَعْ عَنَّا الْجَهْدَ وَ الْجُوْعَ وَالْعُرْيَ، وَاكْشِفْ عَنَّا مَا لاَ يَكْشِفْهُ غَيْرُكَ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْتَغْفِرُكَ إِنَّكَ كُنْتَ غَفَّارًا، فَأَرْسِلِ السَّمَآءَ عَلَيْنَا مِدْرَارًا.

(4) Semasa berdoa ini, disunatkan mengangkat tangan beramai-ramai.

(5) Pada ketika dibaca khutbah kedua, disunatkan berpusing menghadap ke kiblat. Pusingan itu dilaksanakan dari kanan ke kiri.

 
(6) Selain itu, didalam khutbah pertama dan kedua, disunatkan memperbanyakan doa berikut selepas selawat ke atas Nabi SAW, yang turut sama diikuti oleh para Jemaah:

لاَ إَلَهَ إِلاَّ اللهُ الْحَلِيْمُ الْكَرِيْمُ سُبْحَانَ اللهِ رَبِّ الْعَرْشِ الْعَظِيْمِ الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ نَسْأَلُكَ مُوْجِبَاتِ رَحْمَتِكَ وَعَزَائِمَ مَغْفِرَتِكَ، وَالْغَنِيْمَةَ مِنْ كُلِّ بِرٍّ، وَالسَّلاَمَةَ مِنْ كُلِّ إِثْمٍ، لاَ تَدَعْ لَنَا ذَنْبًا إِلاَّ غَفَرْتَهُ، وَلاَ هَمًّا إِلاَّ فَرَّجْتَهُ، وَلاَ حَاجَةً هِيَ لَكَ رِضًا إِلاَّ قَضَيْتَهَا يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِيْنَ


PERMASALAHAN

(1) Para ulamak Syafie menyatakan, Solat Sunat Istisqak ini boleh dilaksanakan secara berulang-ulang sehingga turunnya hujan, tetapi pelaksanaan kali yang pertama itu perlu ditekankan dan diutamakan sebagaimana sunnah Nabi SAW.

(2) Apabila hujan turun selepas dilaksanakan Solat Sunat Istisqak, hendaklah bertasbih sebanyak-banyak pada Allah SWT, dan disunatkan mengucapkan doa berikut:

اللهم صيبا هنيا وسيبا نافعا

(3) Jika hujan yang turun tidak berhenti dan berlebih-lebihan sehingga memudaratkan masyarakat, hendaklah membaca doa berikut:

اللهم حوالينا ولا علينا
 والله أعلم