Iklan

Saturday 31 May 2014

TAZKIRAH: TUHAN TIDAK BERBUAT ANIAYA



Kita sebagai hamba Allah SWT seharusnya tahu peranan dan tujuan kita dihidupkan di muka bumi Allah SWT ini. Kita ini diciptakan dan dihidupkan oleh Allah SWT atas dua perkara utama. Pertamanya sebagai hamba Allah, yang diperintahkan untuk menyembah Allah SWT, tidak mensyirikkan dan menyekutukannya dengan sesuatu yang lain. Keduanya, kita juga diamanahkan oleh Allah SWT sebagai khalifah, untuk mentadbir dan mengurus nikmat-nikmat kurniaan Allah SWT sesuai dengan syariatnya.

      Apabila kita sedar dan tahu akan peranan dan tujuan kita dihidupkan, kita juga akan sedar bahawa segala apa yang dilakukan oleh Allah SWT itu sebenarnya ada hikmah dan rahsia di sebaliknya. Semua ini dijelaskan oleh Allah SWT sebagai ujian untuk kita semua sebagai hamba-Nya dan sebagai khalifah Allah di muka bumi, sama ada kita benar-benar beriman kepada-Nya atau pun tidak.

      Allah SWT sama sekali tidak membuat aniaya kepada hamba-Nya. Sebagai pencipta, Allah SWT tahu akan fitrah ciptaan-Nya, sesuai atau pun tidak untuk hamba-Nya itu. Segala ujian yang datang diberikan sesuai dengan tahap penerimaan dan kesanggupan seseorang itu. Ada masanya ujian itu datang dalam bentuk kesenangan dan kemewahan. Mereka diuji dengan pelbagai bentuk kekayaan, kemewahan, kesenangan dan sebagainya. Segala bentuk kesenangan itu diberikan kepada mereka. Apabila diberikan ujian sebegini, kita boleh memilih sama ada bersikap seperti firaun dan qarun, atau bersikap seperti Nabi Daud dan Nabi Sulaiman AS.

Sekiranya ada yang memilih bersikap seperti fir’aun dan qarun, bersikap sombong dan takbur dengan kekayaan yang diberikan, sombong dan takbur mengatakan kekayaan itu adalah hasil usaha mereka sendiri, bukannya datang daripada Allah SWT, maka sudah pasti akibat kehidupan orang yang memilih jalan ini, akan bersama-sama dengan firaun dan qarun di hari akhirat kelak. Harta yang diberikan tidak lagi mendapat keberkatan, semuanya dirasakan tidak cukup, menjadi bakhil dan kedekut, dan seterusnya kehidupan mereka juga tidak diredhai oleh Allah SWT. Na’uzubillah min zalik.

Sekiranya kita memilih untuk bersikap seperti Nabi Daud dan Nabi Sulaiman AS, walaupun dikurniakan kekayaan dan kemuliaan sedunia dan seisinya, mereka tetap teguh beriman dengan Allah SWT, bersyukur atas nikmat pemberian-Nya malah berterusan bersedekah dan berjariah kepada orang lain. Malah, apabila lebih banyak harta yang diberikan Allah SWT, menjadikan mereka lebih beriman dan semakin kuat ibadahnya kepada Allah SWT. Inilah sikap dan sifat yang benar dan betul apabila diuji dengan kesenangan dan kekayaan.

     Tetapi dalam masa yang sama, ada ujian Allah SWT itu datang dalam bentuk kesusahan dan kepayahan, kesukaran dan kefakiran, kemiskinan dan kemalaratan, kesakitan dan sebagainya. Apabila ditimpa ujian yang sebegini, kita juga boleh memilih sama ada untuk bersikap seperti Nabi Ayub AS atau bersikap terus menerus menyalahkan takdir Allah SWT.

     Jika kita memilih untuk menyalahkan takdir, mengatakan Allah SWT berbuat aniaya kepada kita, ini sebenarnya mengundang kecelakaan untuk kita. Apabila kita menunding jari menyalah Allah SWT, pastinya kita tidak akan berbuat apa-apa untuk mengubah keadaan tersebut. Kita hanya menerima ujian kepayahan dan kesusahan tersebut, tanpa membuat apa-apa usaha untuk mengubahnya, malah hanya mengharapkan Allah SWT mengubah keadaan susah ini kepada sebaliknya.

   Seharusnya, apabila ditimpa ujian kesusahan ini, kita sewajarnya memilih sikap sebagaimana Nabi Ayub AS. Walaupun ditimpa ujian kesakitan, ditinggalkan ahli keluarganya, menjadi miskin dan papa kedana, Baginda AS tetap memilih untuk beriman dengan Allah SWT, memilih untuk sentiasa berzikir, bertasbih, bertahmid dan bertakbir kepada Allah SWT. Sikap sebeginilah yang perlu kita terapkan dalam diri kita. Walau sesusah dan sepayah mana pun ujian yang diberikan, kita seharusnya mesti kekal beriman dan bertaqwa kepada Allah SWT.

     Ingatlah, segala apa yang berlaku, ada hikmah dan rahsia di sebaliknya. Allah SWT sama sekali tidak akan menganiaya hamba-Nya, tetapi sebenarnya apa yang berlaku itu adalah ujian untuk kita semua. Mana mungkin hamba Allah SWT itu dibiarkan tanpa sebarang ujian, kerana ujian itulah penentu tahap keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT.

Sekianlah sahaja tazkirah ringkas dari saya. Mudah-mudahan apa yang disampaikan ini boleh dijadikan renungan dan panduan untuk semua. Ampun dan maaf atas kesilapan dan kesalahan. Wallahua’alam. Wabillahi taufik wal hidayah wassalamualaikum wr. Wb 

(tulisan ini adalah tazkirah ringkas yang saya sampaikan di dalam siaran radio Johor.FM pada rancangan "Raikan Jiwa")

No comments:

Post a Comment