(dipetik, diterjemah dan diringkaskan daripada Buku 'Ulumul Hadis Usiluha Wa Ma'asiruha yang ditulis oleh Prof Dr Abu Layth - Pensyarah UIAM)
1. Hadith atau Sunnah ialah apa sahaja yang disandarkan kepada
Rasulullah SAW dari segai perkataan, perbuatan, pengakuan, sifat-sifat
jasmani dan akhlak perbuatannya sama ada sebelum diutuskan menjadi Rasul
ataupun selepasnya.
2. Athar ialah lebih umum daripada hadith. Ia
meliputi apa sahaja yang bersumberkan daripada Nabi SAW atau selainnya
daripada sahabat dan tabi’in.
3. Matan ialah apa yang dijelaskan selepas “sanad”.
4. Sanad ialah perkhabaran tentang jalan yang mengandungi senarai perawi untuk memberitahu tentang “matan”.
5.
Isnad memiliki dua makna. Makna yang pertama sama seperti sanad. Makna
yang kedua ialah mengangkat satu hadith kepada orang yang mengatakannya.
6. Musnad ialah Kitab yang menghimpunkan hadith-hadith menggunakan kaedah nama sahabat.
7. Musnid ialah gelaran yang dinisbahkan kepada sesiapa yang meriwayatkan hadith-hadith dengan sanadnya sendiri.
8. Al-Muhaddith ialah gelaran yang diberikan kepada orang yang memenuhkan hidupnya dengan hadith-hadith Nabi.
9.
Al-Hafiz ialah gelaran yang diberikan kepada al-Muhaddith yang
mengetahui secara lengkap sesuatu hadith dari segi sanad, matan, hal
ehwal perawinya dan sejarah hadith tersebut melebihi 100 ribu hadith.
10.
Al-Hujjah ialah gelaran yang diberikan kepada al-Hafiz iaitu mereka
yang telah mencapai tahap penghafazan, pengukuhan dan penghayatan
terhadap sanad dan matan hadith sehingga hadith tersebut boleh dijadikan
hujjah bagi manusia. Orang yang diberikan gelaran al-hujjah ini telah
mengetahui secara ‘alim 300 ribu hadith.
11. Al-Hakim ialah gelaran
yang diberikan kepada sesiapa yang telah mencapai ilmunya keseluruhan
hadith yang diriwayatkannya dari segi matan, sanad, ilmu jarh dan
ta’dil, takhrij dan kelemahan sesebuah hadith, nasikh dan mansukh,
percanggahan yang berlaku dalam hadith dan bagaimana untuk menanganinya
dan sebagainya.
12. Amir al-Mukminin Fil Hadith ialah gelaran
tertinggi yang diberikan kepada sesiapa yang sempurna penghafazan,
pengukuhan dan penghayatan pada ilmu hadith dan ilmu ‘ilal daripada
semua segi.
13. Sahabat ialah sesiapa yang pernah bertemu dengan Nabi
Muhammad SAW dan beriman dengannya, dan mati sebagai seorang Islam,
walaupun pertemuan tersebut adalah sebentar sahaja.
14. Tabi’in ialah
sesiapa yang pernah bertemu dengan seorang atau lebih daripada sahabat
dan keadaannya pada ketika itu adalah Islam dan mati sebagai seorang
Islam
15. Tabi’ al-Tabi’in ialah sesiapa yang pernah bertemu dengan
seorang atau lebih tabi’in dan keadaannya pada ketika itu adalah Islam
dan mati sebagai seorang Islam.
16. Riwayat ialah berpindahnya satu
hadith dengan sanadnya kepada sesiapa yang mengambil hadith tersebut
dengan lafaz yang nyata seperti “haddathana” atau “Akhbarana” atau
“Sami’tu” atau “’An” atau sebagainya.
17. Al-Rawi ialah orang yang memindahkan sesuatu hadith atau Athar dengan sanadnya kepada perhentian keduanya.
18. Al-Marwi ialah Hadith atau Athar yang dipindahkan oleh perawi berserta sanadnya.
19.
Hadith Qudsi ialah apa yang disandarkan padanya Rasulullah SAW secara
perkataan kepada Allah SWT dengan kata-kata yang jelas seperti “قال
تعالى” atau “يقول الله” atau sebagainya.
20. Al-Marfu’ ialah apa yang
disandarkan kepada Nabi SAW dari segi perkataan atau perbuatan atau
pengakuan atau sifat kejadiannya atau akhlaknya samada bersifat secara
muttasil atau munqati’.
21. Al-Mauquf ialah apa yang disandarkan
kepada sahabat dari segi perkataan, perbuatan, pengakuan, sifat kejadian
atau akhlak Nabi SAW. Dinamakan mauquf kerana rangkaian perawi terhenti
pada sahabat.
22. Al-Maqtu’ ialah apa yang disandarkan kepada
tabi’in atau orang yang selepasnya dari segi perkataan atau perbuatan
atau pengakuan atau sifat Nabi SAW.
23. Al-Mutawatir ialah hadith
yang diriwayatkan oleh sebilangan besar daripada setiap peringkat sanad,
yang bilangan tersebut dianggap mustahil secara adat untuk mereka
bersepakat bagi mendustakan hadith tersebut.
24. Al-Ahad ialah hadith yang tidak mencapai taraf mutawatir.
25. Al-Gharib ialah seorang perawi yang bersendirian atau berseorangan meriwayatkan sebuah hadith pada mana-mana tahap sanad.
26. Al-‘Aziz ialah tidak kurang dua orang perawi pada setiap tahap sanad meriwayatkan hadith berkenaan.
27.
Al-Masyhur ialah tidak kurang daripada tiga orang perawi yang
meriwayatkan hadith berkenaan pada keseluruhan tahap sanad atau
sebahagian tahap sanad.
28. Sohih Lizatihi ialah Hadiith yang
bersambung sanadnya yang memenuhi lima syarat berikut iaitu bersambung
sanadnya, ‘adil perawinya, sempurna dhobitnya, selamat daripada syaz dan
selamat daripada ‘illah. Orang yang terhimpun padanya sifat ‘adil dan
dhobit digelar sebagai thiqah.
29. Sohih Ligahirihi ialah hadith yang
asalnya Hasan Lizatihi tetapi dinaikkan taraf disebabkan ada jalan
sanad lain atau jalan-jalan sanad yang lebih kuat daripada sanad
pertama.
30. Hasan Lizatihi ialah hadith yang bersambung sanadnya
daripada awal hingga akhirnya tetapi tidak sempurna syarat hadith Sohih
dari segi kurangnya dhobit perawi tersebut.
31. Hasan Lighairihi
ialah hadith yang asalnya Dhoif yang ringan diperkuatkan dengan
berbilangnya jalan sanad atau ditemui jalan sanad baru yang lebih kuat
daripada sanad asal.
32. Dhoif ialah hadith yang tidak memenuhi
syarat hadith sohih. Dibahagikan kepada dua iaitu Dhoif Khafif iaitu
dhoif yang ringan yang boleh dinaiktaraf seperti Mu’allaq, al-Mursal,
al-Mu’dhol, al-Munqoti’, al-Mudallas, al-Mursal Khofi, Hadith Majhul
hal, Hadith Majhul, Hadith Mubham, Hadith al-Mukhtolid dan Hadith
al-Mutalaqqin. Dho’if Syadid iaitu dhoif yang tidak boleh dinaiktaraf
seperti hadith Maudhu’, Hadith al-Matruk, Hadith al-Munkar, al-Mudarraj,
al-Maqlub, al-Mudthorib, al-Musohhaf, al-Muharraf dan Hadith al-Ma’lul.
33. Al-Mu’allaq ialah hadith yang dibuang pada awal sanadnya seorang atau lebih, atau keseluruhan perawi.
34. Al-Mursal ialah hadith yang terputus diakhir sanadnya sesiapa selepas tabi’in.
35.
Al-Mu’dhol ialah hadith yang terputus daripada sanadnya dua orang atau
lebih perawi secara berturut-turut sama ada pada awal, pertengahan atau
akhir sanad.
36. Al-Munqoti’ ialah hadith yang terputus pada pertengahan sanadnya seorang, dua atau lebih perawi secara tidak berturut-turut.
37. Al-Mudallas ialah hadith yang ditemui jenayah didalamnya iaitu disembunyikan perawi yang ‘aib.
38.
Al-Mursal Khafi ialah apa yang diriwayatkan oleh perawi daripada
seorang perawi yang sezaman dengannya tetapi tidak pernah berjumpa
dengannya, ataupun pernah berjumpa tetapi tidak pernah meriwayatkan
apa-apa daripadanya.
39. Al-Maudu’ ialah apaapa yang direka dan
disandarkan kepada Nabi SAW atau selainnya dari segi perkataan,
perbuatan, pengakuan atau sifat secara dusta.
40. Al-Matruk ialah hadith yang memiliki perawi yang dituduh sebagai pendusta atau fasik.
41.
Hadith Majhul ialah hadith yang dalam sanadnnya ada perawi yang tidak
diketahui siapa perawi tersebut dan bagaimana hal keadaannya.
42.
Hadith Mubham ialah hadith yang pada sanadnnya tidak jelas nama perawi
tersebut, atau jika dijelaskan tidak diketahui nasabnya atau gelarannya
atau panggilannya.
43. Al-Munkar ialah perawi yang dhoif meriwayatkan
hadith yang berlawanan dengan hadith yang diriwayatkan oleh perawi yang
thiqah.
44. Al-Syaz ialah perawi yang thiqah yang meriwayatkan
hadith yang berlawanan dengan hadith yang diriwayatkan oleh orang yang
lebih thiqah daripadanya atau keseluruhan daripada orang yang thiqah.
45. Al-Mudraj ialah apa yang dimasukkan pada sanadnya atau matannya apa yang tiada padanya dengan jalan yang diragui.
46. Al-Maqlub ialah apa yang berlaku pada sanad atau matannya pertukaran sama ada diawalkan atau diakhirkan.
47.
Al-Mudthorib ialah hadith yang diriwayatkan daripada pelbagai jalan
sanad, memiliki sama kekuatan, yang akhirnya tidak mungkin untuk
digabungkan atau ditarjih salah satu hadith tersebut.
48. Al-Musohhaf ialah perubahan pada tanda noktah tetapi kekal wajah tulisannya.
49. Al-Muharrof ialah perubahan pada baris tetapi kekal wajah tulisannya.
50. Mukhtolit ialah hadith yang pada sanadnya ada perawi yang lemah hafalannya.
51. Al-Ma’lul ialah hadith yang timbul padanya kecacatan yang boleh merosakkan kesohihannya.