Iklan

Friday 22 March 2013

SUDUT ILMU: Istilah-Istilah Dalam 'Ulum Hadis

(dipetik, diterjemah dan diringkaskan daripada Buku 'Ulumul Hadis Usiluha Wa Ma'asiruha yang ditulis oleh Prof Dr Abu Layth - Pensyarah UIAM)

1. Hadith atau Sunnah ialah apa sahaja yang disandarkan kepada Rasulullah SAW dari segai perkataan, perbuatan, pengakuan, sifat-sifat jasmani dan akhlak perbuatannya sama ada sebelum diutuskan menjadi Rasul ataupun selepasnya.

2. Athar ialah lebih umum daripada hadith. Ia meliputi apa sahaja yang bersumberkan daripada Nabi SAW atau selainnya daripada sahabat dan tabi’in.

3. Matan ialah apa yang dijelaskan selepas “sanad”.

4. Sanad ialah perkhabaran tentang jalan yang mengandungi senarai perawi untuk memberitahu tentang “matan”.

5. Isnad memiliki dua makna. Makna yang pertama sama seperti sanad. Makna yang kedua ialah mengangkat satu hadith kepada orang yang mengatakannya.

6. Musnad ialah Kitab yang menghimpunkan hadith-hadith menggunakan kaedah nama sahabat.

7. Musnid ialah gelaran yang dinisbahkan kepada sesiapa yang meriwayatkan hadith-hadith dengan sanadnya sendiri.

8. Al-Muhaddith ialah gelaran yang diberikan kepada orang yang memenuhkan hidupnya dengan hadith-hadith Nabi.

9. Al-Hafiz ialah gelaran yang diberikan kepada al-Muhaddith yang mengetahui secara lengkap sesuatu hadith dari segi sanad, matan, hal ehwal perawinya dan sejarah hadith tersebut melebihi 100 ribu hadith.

10. Al-Hujjah ialah gelaran yang diberikan kepada al-Hafiz iaitu mereka yang telah mencapai tahap penghafazan, pengukuhan dan penghayatan terhadap sanad dan matan hadith sehingga hadith tersebut boleh dijadikan hujjah bagi manusia. Orang yang diberikan gelaran al-hujjah ini telah mengetahui secara ‘alim 300 ribu hadith.

11. Al-Hakim ialah gelaran yang diberikan kepada sesiapa yang telah mencapai ilmunya keseluruhan hadith yang diriwayatkannya dari segi matan, sanad, ilmu jarh dan ta’dil, takhrij dan kelemahan sesebuah hadith, nasikh dan mansukh, percanggahan yang berlaku dalam hadith dan bagaimana untuk menanganinya dan sebagainya.

12. Amir al-Mukminin Fil Hadith ialah gelaran tertinggi yang diberikan kepada sesiapa yang sempurna penghafazan, pengukuhan dan penghayatan pada ilmu hadith dan ilmu ‘ilal daripada semua segi.

13. Sahabat ialah sesiapa yang pernah bertemu dengan Nabi Muhammad SAW dan beriman dengannya, dan mati sebagai seorang Islam, walaupun pertemuan tersebut adalah sebentar sahaja.

14. Tabi’in ialah sesiapa yang pernah bertemu dengan seorang atau lebih daripada sahabat dan keadaannya pada ketika itu adalah Islam dan mati sebagai seorang Islam

15. Tabi’ al-Tabi’in ialah sesiapa yang pernah bertemu dengan seorang atau lebih tabi’in dan keadaannya pada ketika itu adalah Islam dan mati sebagai seorang Islam.

16. Riwayat ialah berpindahnya satu hadith dengan sanadnya kepada sesiapa yang mengambil hadith tersebut dengan lafaz yang nyata seperti “haddathana” atau “Akhbarana” atau “Sami’tu” atau “’An” atau sebagainya.

17. Al-Rawi ialah orang yang memindahkan sesuatu hadith atau Athar dengan sanadnya kepada perhentian keduanya.

18. Al-Marwi ialah Hadith atau Athar yang dipindahkan oleh perawi berserta sanadnya.

19. Hadith Qudsi ialah apa yang disandarkan padanya Rasulullah SAW secara perkataan kepada Allah SWT dengan kata-kata yang jelas seperti “قال تعالى” atau “يقول الله” atau sebagainya.

20. Al-Marfu’ ialah apa yang disandarkan kepada Nabi SAW dari segi perkataan atau perbuatan atau pengakuan atau sifat kejadiannya atau akhlaknya samada bersifat secara muttasil atau munqati’.

21. Al-Mauquf ialah apa yang disandarkan kepada sahabat dari segi perkataan, perbuatan, pengakuan, sifat kejadian atau akhlak Nabi SAW. Dinamakan mauquf kerana rangkaian perawi terhenti pada sahabat.

22. Al-Maqtu’ ialah apa yang disandarkan kepada tabi’in atau orang yang selepasnya dari segi perkataan atau perbuatan atau pengakuan atau sifat Nabi SAW.

23. Al-Mutawatir ialah hadith yang diriwayatkan oleh sebilangan besar daripada setiap peringkat sanad, yang bilangan tersebut dianggap mustahil secara adat untuk mereka bersepakat bagi mendustakan hadith tersebut.

24. Al-Ahad ialah hadith yang tidak mencapai taraf mutawatir.

25. Al-Gharib ialah seorang perawi yang bersendirian atau berseorangan meriwayatkan sebuah hadith pada mana-mana tahap sanad.

26. Al-‘Aziz ialah tidak kurang dua orang perawi pada setiap tahap sanad meriwayatkan hadith berkenaan.

27. Al-Masyhur ialah tidak kurang daripada tiga orang perawi yang meriwayatkan hadith berkenaan pada keseluruhan tahap sanad atau sebahagian tahap sanad.

28. Sohih Lizatihi ialah Hadiith yang bersambung sanadnya yang memenuhi lima syarat berikut iaitu bersambung sanadnya, ‘adil perawinya, sempurna dhobitnya, selamat daripada syaz dan selamat daripada ‘illah. Orang yang terhimpun padanya sifat ‘adil dan dhobit digelar sebagai thiqah.

29. Sohih Ligahirihi ialah hadith yang asalnya Hasan Lizatihi tetapi dinaikkan taraf disebabkan ada jalan sanad lain atau jalan-jalan sanad yang lebih kuat daripada sanad pertama.

30. Hasan Lizatihi ialah hadith yang bersambung sanadnya daripada awal hingga akhirnya tetapi tidak sempurna syarat hadith Sohih dari segi kurangnya dhobit perawi tersebut.

31. Hasan Lighairihi ialah hadith yang asalnya Dhoif yang ringan diperkuatkan dengan berbilangnya jalan sanad atau ditemui jalan sanad baru yang lebih kuat daripada sanad asal.

32. Dhoif ialah hadith yang tidak memenuhi syarat hadith sohih. Dibahagikan kepada dua iaitu Dhoif Khafif iaitu dhoif yang ringan yang boleh dinaiktaraf seperti Mu’allaq, al-Mursal, al-Mu’dhol, al-Munqoti’, al-Mudallas, al-Mursal Khofi, Hadith Majhul hal, Hadith Majhul, Hadith Mubham, Hadith al-Mukhtolid dan Hadith al-Mutalaqqin. Dho’if Syadid iaitu dhoif yang tidak boleh dinaiktaraf seperti hadith Maudhu’, Hadith al-Matruk, Hadith al-Munkar, al-Mudarraj, al-Maqlub, al-Mudthorib, al-Musohhaf, al-Muharraf dan Hadith al-Ma’lul.

33. Al-Mu’allaq ialah hadith yang dibuang pada awal sanadnya seorang atau lebih, atau keseluruhan perawi.

34. Al-Mursal ialah hadith yang terputus diakhir sanadnya sesiapa selepas tabi’in.

35. Al-Mu’dhol ialah hadith yang terputus daripada sanadnya dua orang atau lebih perawi secara berturut-turut sama ada pada awal, pertengahan atau akhir sanad.

36. Al-Munqoti’ ialah hadith yang terputus pada pertengahan sanadnya seorang, dua atau lebih perawi secara tidak berturut-turut.

37. Al-Mudallas ialah hadith yang ditemui jenayah didalamnya iaitu disembunyikan perawi yang ‘aib.

38. Al-Mursal Khafi ialah apa yang diriwayatkan oleh perawi daripada seorang perawi yang sezaman dengannya tetapi tidak pernah berjumpa dengannya, ataupun pernah berjumpa tetapi tidak pernah meriwayatkan apa-apa daripadanya.

39. Al-Maudu’ ialah apaapa yang direka dan disandarkan kepada Nabi SAW atau selainnya dari segi perkataan, perbuatan, pengakuan atau sifat secara dusta.

40. Al-Matruk ialah hadith yang memiliki perawi yang dituduh sebagai pendusta atau fasik.

41. Hadith Majhul ialah hadith yang dalam sanadnnya ada perawi yang tidak diketahui siapa perawi tersebut dan bagaimana hal keadaannya.

42. Hadith Mubham ialah hadith yang pada sanadnnya tidak jelas nama perawi tersebut, atau jika dijelaskan tidak diketahui nasabnya atau gelarannya atau panggilannya.

43. Al-Munkar ialah perawi yang dhoif meriwayatkan hadith yang berlawanan dengan hadith yang diriwayatkan oleh perawi yang thiqah.

44. Al-Syaz ialah perawi yang thiqah yang meriwayatkan hadith yang berlawanan dengan hadith yang diriwayatkan oleh orang yang lebih thiqah daripadanya atau keseluruhan daripada orang yang thiqah.

45. Al-Mudraj ialah apa yang dimasukkan pada sanadnya atau matannya apa yang tiada padanya dengan jalan yang diragui.

46. Al-Maqlub ialah apa yang berlaku pada sanad atau matannya pertukaran sama ada diawalkan atau diakhirkan.

47. Al-Mudthorib ialah hadith yang diriwayatkan daripada pelbagai jalan sanad, memiliki sama kekuatan, yang akhirnya tidak mungkin untuk digabungkan atau ditarjih salah satu hadith tersebut.

48. Al-Musohhaf ialah perubahan pada tanda noktah tetapi kekal wajah tulisannya.

49. Al-Muharrof ialah perubahan pada baris tetapi kekal wajah tulisannya.

50. Mukhtolit ialah hadith yang pada sanadnya ada perawi yang lemah hafalannya.

51. Al-Ma’lul ialah hadith yang timbul padanya kecacatan yang boleh merosakkan kesohihannya.

1 comment:

  1. Di mana saya boleh dapatkan buku ini ya? Ada beberapa lagi yang saya cari seperti Mu'jam al-Mustalaht Hadithiyyah by Dr. Abul Laith. Kat mana boleh dapatkan ye?

    ReplyDelete