Iklan

Saturday 18 February 2012

SUDUT ILMU: USLUB DAKWAH NABI MUHAMMAD S.A.W (MENURUT AL-QURAN)

(written & posted by: me)

PENDAHULUAN

Dalam pengertian masyarakat masa kini, dawah adalah istilah khas bagi umat Islam dalam menjalankan tugas pengenalan dan pengembangan risalah Islamiah sebagai rahmah li al-calamin. Tugas dan amanah dacwah dalam proses menyampaikan ajaran Islam yang sebenar telah dinyatakan oleh Allah SWT dalam firmanNya:

Maksudnya: “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; Sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalannya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk. (Al-Nahl: 16: 125)

TAKRIF DAKWAH

Dari sudut bahasa bermakna
  • seruan (al-Israk ayat 52), 
  • tuntutan kepada orang yang berkuasa dari golongan bawahan (al-baqarah ayat 186 & 69, Aali Imran ayat 38), 
  • ibadah manusia kepada Allah S.W.T. (al-Jin ayat 18), 
  • susur galur nasab dan penempatan (al-Ahzab ayat 5 & Maryam ayat 91), 
  • ajakan makan dan minum, khusus digunakan untuk keraian majlis perkahwinan , 
  • seruan azan dan iqamah; dan 
  • agama dan mazhab (al-Ra’d ayat 14). 
Dari sudut istilah:

Menyampaikan ilmu Islam kepada manusia, mengajarkannya kepada manusia dan menunjukkan bagaimana utuk mempraktikkannya dalam kehidupan harian.


TAKRIF USLUB

Dari sudut bahasa:  Kaedah atau cara (Kamus Dewan),

•Dari sudut istilah: Uslub dakwah ialah penyampaian kandungan atau isi dakwah dengan ibarat dan bentuk yang tertentu .


HUKUM BERDAKWAH

“Hukum menyampaikan dakwah itu adalah wajib dilaksanakan sama ada oleh lelaki mahupun wanita. Dalilnya pada surah al-Taubah ayat 71, Fusilat ayat 33, al-taubah ayat 122, Aali Imran ayat 104 & 110, al-Nahlu 125”

“Syeikh Abu Zuhrah menambah hukum melaksanakn dakwah ini adalah fardhu ain dan fardhu kifayah secara bersama. Fardhu Ain atas setiap individu muslim dan fardhu kifayah atas keseluruhan masyarkat Islam.”

USLUB DAKWAH NABI MUHAMMAD S.A.W.


1. Ikhlas

Ikhlas disini bermaksud tetap atas kebenaran, teguh pendirian atas perintah untuk berdakwah kepada manusia, tidak takut untuk menghadapi tentangan dan dugaan.

Cth: Nabi Muhammad ketika ditawarkan harta dan juga kemewahan dunia semasa di Mekah, Baginda tetap teguh atas pendirian untuk menyampaikan risalah Allah SWT.

2. Penjelasan yang lengkap

Dakwah mesti disampaikan dengan jelas, tanpa wujud kekusutan atau kekeliruan. Hendaklah menggunakan bahasa yang mudah dan senang difahami.

Cth: Nabi Muhammad memulakan dakwahnya dengan perkara asas Islam iaitu akidah, kekal dan tetap teguh menyampaikannya, bersabar dengan apa jua halangan dan cabaran sambil berkeyakinan pertolongan Allah SWT sentiasa hadir membantu.

3. Perumpamaan dan Perbandingan

Adalah dimaklumi bahawa semua umat yang diutuskan kepadanya para Rasul akan menyembah berbilang-bilang tuhan. Untuk itu para Rasul yang diutus akan mendatangkan perumpamaan dan perbandingan untuk menguatkan hujah bahawa Tuhan itu hanyalah Allah SWT yang Maha Esa (al-Anfal ayat 42).

Perumpamaan dan perbandingan ini didatangkan atas dua sebab:

1. Pada menerangkan keadaan umat yang terdahulu berdasarkan kisah-kisah para Rasul yang diutus.
2. Menunjukkan bahawa risalah yang dibawa oleh para Rasul adalah risalah ilahi.

4. Kesatuan Usul Dakwah

Dalam hal ini, uslub Nabi Muhammad SAW kekal konsisten dengan usul dakwah yang telah disampaikan oleh para Rasul yang terdahulu iaitu;

(a). Mentauhidkan Allah

Para Rasul dari dahulu lagi akan membawa risalah tauhid kerana inilah merupakan tujuan asas dakwah

(b). Benarnya risalah kerasulan

Nabi Muhammad SAW juga sentiasa tetap teguh membenarkan akan dirinya itu ada seorang Rasul     yang diutuskan kepadanya wahyu ilahi, sebagaimana para Rasul yang terdahulu. Keadaan ini diperkukuhkan lagi dengan pengurniaan mukjizat untuk menolak segala keraguan dan pertentangan yang dikemukakan oleh kaum kafir musyrik.

(c). Berdakwah supaya melaksanakan amal ibadat

Amal ibadah merupakan keperluan asas yang diperlukan oleh seorang manusia untuk menjadikan dirinya seorang yang Islam. Ini kerana, amal ibadah merupakan ruang komunikasi terus antara hamba dengan Allah SWT.

Amal ibadah yang diseru oleh Nabi Muhammad SAW dan para Rasul boleh dikategorikan kepada dua jenis:
(1). Amal ibadah yang telah dinaskan, tidak boleh diubah atau ditambah.
(2). Apa jua amalan baik dan solih terutamanya pengamalan akhlak Islamiyyah yang unggul dianggap sebagai ibadah.

(d). Berdakwah kepada Akhlak yang baik.

Nabi Muhammad SAW dan para Rasul akan memulakan penyampaian risalah melalui amalan akhlak yang baik. Baginda bukan sahaja menyeru supaya berakhlak baik tetapi menjadikan sebagai amalan harian.

Seruan kepada akhlak yang baik biasanya merupakan nilai-nilai yang universal dan terpakai untuk semua umat manusia seperti berbuat baik kepada ibubapa, tidak membunuh anak-anak, tidak membunuh diri, tidak berkahwin sesama jenis dan sebagainya.

(e). Memperingatkan kepastian Hari Kiamat

Adapun tujuan memperingatkan tentang pastinya kedatangan Hari Kiamat ini adalah untuk menakutkan dan menyedarkan manusia supaya tidak terus menerus melakukan dosa dan maksiat. Ini kerana kepastian wujudnya Hari Kiamat, Hari pembalasan ini merupakan ketakutan terbesar manusia.

Selain itu, menurut Imam Fakru Razi, kebiasaan manusia adalah bersifat mengikut atau muqallid. Amalan yang dibuat secara ikutan biasanya tidak memiliki dalil dan hujah. Ini dapat dipatahkan hanya melalui menakutkan mereka dengan balasan hari Kiamat secara berterusan sebagaimana diisyaratkan oleh Allah SWT dalam surah al-Syuarak.

KESIMPULAN

Uslub Dakwah yang dilaksanakan oleh Nabi Muhammad SAW untuk menyampaikan risalah ilahi adalah tetap teguh sebagaimana uslub dakwah para Rasul yang terdahulu.

Diharapkan uslub dakwah ini dapat dijadikan perkara asas oleh kadir-kadir dakwah dalam menyampaikan risalah Islam ini kerana ia merupakan teori yang berjaya dipraktikkan oleh para Rasul, para Sahabat dan juga para da’I.

RUJUKAN:

Dr. Ahmad Ahmad Ghallusy. 1978. Dakwah Islamiyyah Usuluha Wa Wasaailuha. Kaherah: Dar Kutub al-Misri.
Dr. Muhammad Qasim al-Suum. 2007. Manhajiyyatilm al-da;wah. Lubnan: Dar al-kutub al-Ilmiyyah.
Muhamad Bukharuddin Ismail & Mohd Rosdi Mat Zain. 2010. Uslub Dakwah Nabi Nuh menurut Al-Qurandalam kumpulan kertas kerja Manhaj Dakwah menurut Al-Quran. Bangi: Jabatan Dakwah dan Kepimpinan UKM.
Khairudin bin Salimin. 2010. Dakwah dalam Al-Qurandalam kumpulan kertas kerja Manhaj Dakwah menurut Al-Quran. Bangi: Jabatan Dakwah dan Kepimpinan UKM.
Wan Azlee dan Abd Samad. . 2010. Dakwah Nabi Muhammad SAW di Madinahdalam kumpulan kertas kerja Manhaj Dakwah menurut Al-Quran. Bangi: Jabatan Dakwah dan Kepimpinan UKM.

No comments:

Post a Comment