Iklan

Friday 30 May 2014

TAZKIRAH : NYANYIAN DUKA BUAT MEREKA YANG TELAH PERGI

(tulisan ini adalah tazkirah ringkas yang saya sampaikan di dalam siaran radio Johor.FM pada rancangan "Raikan Jiwa")







Hidup dan mati adalah dua perkara yang saling berkait antara satu sama lain. Semua yang hidup pasti akan menemui kematian. Kita yang masih hidup, masih diberikan nafas untuk bernyawa, masih lagi diberikan peluang oleh Allah SWT untuk beribadah kepadaNya dan menjalani nikmat kehidupan, seharusnya memperbanyakkan syukur kepada Allah SWT. Ringan-ringankanlah mulut mengucapkan Alhamdulillah, syukur atas nikmat pemberian Allah SWT.

Namun begitu, kita perlu juga ingat bahawa suatu masa nanti kita akan mati dan meninggalkan alam yang fana ini. Apabila kematian itu datang, tidak ada sesiapa pun yang mampu menghalangnya atau menangguhkan waktu kematian itu ke suatu masa yang lain. Apabila sampai masa untuk kita mati, maka akan datanglah malaikat yang ditugaskan untuk mencabut nyawa kita, menjalankan tugasnya. 
           
Dalam hal ini, kepada mereka yang telah pergi seharusnya kita mengingati kebaikan-kebaikan yang telah mereka lakukan. Janganlah diungkit apa jua kesilapan, kesalahan dan kekurangan yang mereka lakukan semasa mereka hidup. Sekiranya mereka yang telah pergi itu ibu dan bapa kita, maka kita sebagai anak seharusnya mendoakan kesejahteraan dan kebaikan untuk ibu bapa kita. Pohonkanlah ampun untuk kedua ibu bapa kita kerana anak yang mendoakan kedua ibu bapanya itu adalah tanda anak yang soleh. Sekiranya yang telah pergi itu ada sedekah jariah yang ditinggalkan seperti wakaf, hibah dan sebagainya, laksanakanlah amanah peninggalan amal jariah itu sesuai dengan sebaiknya, gunakanlah sedekah jariah itu pada perkara-perkara kebaikan dan boleh memberi manfaat kepada orang lain. Sekiranya yang telah pergi itu ada mengajarkan kita ilmu yang bermanfaat, maka amalkanlah ilmu itu dan ajarkannya juga kepada orang lain. Semua ini berupaya mengundang kegembiraan dan manfaat berterusan kepada yang telah pergi.
           
Janganlah kita hanya mengenang mereka dalam duka dan tangisan, tetapi kenanglah mereka dalam kegembiraan dan doakan kesejahteraan mereka yang telah pergi mendahului kita. Tidak perlu kita berduka berpanjangan mengenangkan mereka yang telah pergi, tetapi kita yang masih hidup laksanakanlah tanggungjawab dengan sebaiknya.

Ingatlah, kita juga nanti akan menemui kematian. Renung-renungkanlah amal ibadah kita. Lihat-lihatlah balik adakah sudah sempurna hak Allah SWT itu kita tunaikan. Adakah betul dan benar pegangan akidah kita sesuai dengan Ahlu Sunah Wal Jama’ah. Sudah sempurnakah solat fardu kita, atau masih ada yang tertinggal tidak cukup lima kali sehari. Begitu juga dengan zakat, adakah sudah dilunaskan zakat fitrah dan zakat harta yang diwajibkan kepada kita. Puasa ramadhan pula bagaimana, Begitu juga dengan ibadah haji yang diwajibkan untuk kita.

Begitu juga hak sesama manusia. Adakah harta yang kita miliki telah kita uruskan pengagihannya sebagaimana dikehendaki oleh syariat Islam. Ingatlah, meninggalkan ahli waris dan kaum kerabat dalam keadaan kaya itu adalah lebih baik daripada menjadikan mereka miskin dan papa kedana. Sama halnya juga dengan hutang piutang yang kita miliki. Adalah semuanya telah dilunaskan atau masih ada berbaki yang perlu dilunaskan oleh ahli waris. Kita juga perlu melihat akhlak kita dengan orang yang ada hubungan dengan kita seperti keluarga kita, kaum kerabat, jiran tetangga dan sebagainya. Janganlah ada sebarang hasad dengki, dendam, sikap busuk hati, menjadi batu api dan sebagainya, yang boleh merosakkan hubungan silaturahim sesama kita. Amalkanlah sikap maaf memaafkan antara satu sama lain, kerana apabila kita sudah mati dan meninggalkan alam yang fana ini, kesalahan dan kesilapan kita pada seseorang itu boleh menjadikan kita muflis di akhirat.

Kita tidak tahu sama ada kita akan hidup lagi esok hari. Oleh itu, hiasilah kehidupan kita hari ini dengan kebaikan dan perkara-perkara yang diredhai oleh Allah SWT. Janganlah kita tinggalkan kehidupan ini dan dalam masa yang sama meninggalkan kesedihan dan kedukaan untuk ahli keluarga kita. Tetapi tinggalkanlah kehidupan ini dengan perkara-perkara yang boleh menggembirakan ahli keluarga kita.

Wallahua’alam. Wabillahi taufik wal hidayah wassalamualaikum wr. Wb.

No comments:

Post a Comment