Iklan

Saturday 21 June 2014

TAZKIRAH: DENGARLAH BACAAN AYAT-AYAT SUCI ALLAH

Al-Quran merupakan kalam Allah dan mukjizat yang kekal sepanjang zaman. Al-Quran merupakan kitab suci yang Allah SWT memberi jaminan keasliannya, yang ia tidak akan mengalami sebarang perubahan. Membacanya dikira ibadah dan mendapat pahala yang berlipatkali ganda. Rasulullah SAW menyatakan, sesiapa yang membaca satu huruf daripada Al-Quran akan mendapat ganjaran pahala yang diganda-gandakan.

     Sebagai umat Islam, kita hendaklah menjadikan Al-Quran sebagai teman rapat dan kawan karib kita. Untuk menjadikannya kawan karib dan teman rapat, Al-Quran hendaklah kita bawa ke mana-mana. Apabila sudah dibawa ke mana-mana, bukalah Al-Quran itu dan bacalah ia. Ini kerana, isi kandungannya amat bermutu tinggi dan sangat bernilai. Sekiranya kita tidak mampu membacanya atas sebab-sebab yang tidak boleh dielakkan, maka dengarkanlah bacaan Al-Quran. Jadikanlah bacaan Al-Quran itu berada di mana-mana di sekeliling kita, di rumah, di dalam kereta, di dalam telefon bimbit, di dalam ipod atau alat pemain muzik dan sebagainya. Jadikanlah juga bacaan Al-Quran itu sebagai keutamaan untuk kita dengar berbanding yang lainnya.

    Jika kita perhatikan, setiap patah perkataan Al-Quran yang dialunkan dengan merdu dan indah, akan dapat menghasilkan ketenangan jiwa. Jiwa yang tenang akan menghasilkan manusia yang seimbang. Tahap tekanan atau stress level berada pada tahap yang terkawal. Apabila manusia memiliki jiwa tenang, keputusan yang dibuatnya juga akan lebih adil dan saksama. Tidak diselaputi perasaan marah, benci, dendam dan sebagainya. Inilah antara keajaiban Al-Quran. Allah SWT menyatakan, dengan mengingati Allah setiap masa itu akan menjadikan hati dan jiwa yang tenang dan tenteram.

     Sesungguhnya Rasulullah SAW sendiri sering menyuruh sahabatnya yang memiliki kemerduan suara supaya membaca Al-Quran. Malah pernah diriwayatkan, ketika seorang sahabat bernama Abu Musa Al-Asy’ari membaca Al-Quran dengan suaranya yang merdu, Baginda SAW duduk dan dengar dengan diam bacaan yang dibaca oleh sahabatnya itu. Inilah sifat dan sikap yang seharusnya kita contohi.

    Pada hari ini kita dikelilingi oleh kepelbagaian kemudahan teknologi. Semua kemudahan teknologi ini sebenarnya membantu kita untuk memudahkan bacaan Al-Quran itu didengar di mana. Tetapi janganlah sesekali kita mengambil sikap endah tak endah akan perkara ini. Apabila bacaan Al-Quran itu dikumandangkan di TV dan Radio, cepat sekali kita menukar siaran, enggan meneruskan pendengaran ayat-ayat suci Al-Quran, walhal ia juga adalah Sunah Rasulullah SAW.

Dalam hal ini, kita perlu tanya diri kita sendiri, apakah sikap kita apabila kita mendengar bacaan Al-Quran itu dialunkan. Adakah kita mengambil bacaan itu sebagai gangguan bunyi dan suara atau kita diam serta dengar dengan taat bacaan tersebut. Adakah imam atau bilal yang mengalunkan bacaan Al-Quran di Masjid dan Surau kita sebelum azan itu kita anggap sebagai gangguan atau kita anggap ia sebagai peringatan untuk kita bersegera ke Masjid menunaikan solat fardu. Sekiranya kita boleh menonton dan mendengar muzik dan lagu yang memuja wanita dan perasaan cinta selama berjam-jam, kenapa kita tidak boleh mendengar Al-Quran dan ayat-ayat suci Allah SWT ini selama berjam-jam.

Sekiranya kita lebih rela mendengar hiburan alunan muzik dan lagu selama berjam-jam sudah pasti di sini kita boleh nilai dimanakah kedudukan Al-Quran dalam kehidupan kita. Hari ini kita melihat orang lebih rela membayar tiket ratusan dan ribuan ringgit untuk pergi ke konsert mendengar lagu dan muzik berbanding pergi ke majlis tilawah Al-Quran yang menawarkan tempat duduk percuma tanpa bayaran. Jadi, persoalannya di manakah Al-Quran dalam kehidupan kita.

Oleh itu, kita sebagai umat Islam hendaklah memperbetulkan kembali sikap kita terhadap Al-Quran. Jadikanlah alunan ayat-ayat suci Al-Quran itu sebagai bahan wajib untuk kita dengar setiap hari. Tidak salah untuk kita berhibur tetapi janganlah hiburan itu melalaikan kita daripada mendengar ayat-ayat suci Al-Quran. Inilah kalam Allah SWT yang padanya mengandungi panduan dan pedoman untuk kita mendapat kehidupan yang diredhai oleh Allah SWT.

Sekianlah sahaja tazkirah ringkas dari saya. Mudah-mudahan apa yang disampaikan ini boleh dijadikan renungan dan panduan untuk semua. Ampun dan maaf atas kesilapan dan kesalahan. Wallahua’alam. Wabillahi taufik wal hidayah wassalamualaikum wr. Wb.

(tazkirah ini saya sampaikan dalam rancangan "Raikan Jiwa" di Radio Johor.FM)

No comments:

Post a Comment