Sebagai umat Islam, kita
hendaklah menjadikan Al-Quran sebagai teman rapat dan kawan karib kita. Untuk
menjadikannya kawan karib dan teman rapat, Al-Quran hendaklah kita bawa ke
mana-mana. Apabila sudah dibawa ke mana-mana, bukalah Al-Quran itu dan bacalah
ia. Ini kerana, isi kandungannya amat bermutu tinggi dan sangat bernilai.
Sekiranya kita tidak mampu membacanya atas sebab-sebab yang tidak boleh
dielakkan, maka dengarkanlah bacaan Al-Quran. Jadikanlah bacaan Al-Quran itu
berada di mana-mana di sekeliling kita, di rumah, di dalam kereta, di dalam
telefon bimbit, di dalam ipod atau alat pemain muzik dan sebagainya. Jadikanlah
juga bacaan Al-Quran itu sebagai keutamaan untuk kita dengar berbanding yang
lainnya.
Jika kita perhatikan,
setiap patah perkataan Al-Quran yang dialunkan dengan merdu dan indah, akan
dapat menghasilkan ketenangan jiwa. Jiwa yang tenang akan menghasilkan manusia
yang seimbang. Tahap tekanan atau stress level berada pada tahap yang terkawal.
Apabila manusia memiliki jiwa tenang, keputusan yang dibuatnya juga akan lebih
adil dan saksama. Tidak diselaputi perasaan marah, benci, dendam dan
sebagainya. Inilah antara keajaiban Al-Quran. Allah SWT menyatakan, dengan
mengingati Allah setiap masa itu akan menjadikan hati dan jiwa yang tenang dan
tenteram.
Sesungguhnya Rasulullah
SAW sendiri sering menyuruh sahabatnya yang memiliki kemerduan suara supaya
membaca Al-Quran. Malah pernah diriwayatkan, ketika seorang sahabat bernama Abu
Musa Al-Asy’ari membaca Al-Quran dengan suaranya yang merdu, Baginda SAW duduk
dan dengar dengan diam bacaan yang dibaca oleh sahabatnya itu. Inilah sifat dan
sikap yang seharusnya kita contohi.
Pada hari ini kita
dikelilingi oleh kepelbagaian kemudahan teknologi. Semua kemudahan teknologi
ini sebenarnya membantu kita untuk memudahkan bacaan Al-Quran itu didengar di
mana. Tetapi janganlah sesekali kita mengambil sikap endah tak endah akan
perkara ini. Apabila bacaan Al-Quran itu dikumandangkan di TV dan Radio, cepat
sekali kita menukar siaran, enggan meneruskan pendengaran ayat-ayat suci Al-Quran,
walhal ia juga adalah Sunah Rasulullah SAW.
Dalam hal ini, kita perlu tanya diri kita sendiri,
apakah sikap kita apabila kita mendengar bacaan Al-Quran itu dialunkan. Adakah
kita mengambil bacaan itu sebagai gangguan bunyi dan suara atau kita diam serta
dengar dengan taat bacaan tersebut. Adakah imam atau bilal yang mengalunkan
bacaan Al-Quran di Masjid dan Surau kita sebelum azan itu kita anggap sebagai
gangguan atau kita anggap ia sebagai peringatan untuk kita bersegera ke Masjid
menunaikan solat fardu. Sekiranya kita boleh menonton dan mendengar muzik dan
lagu yang memuja wanita dan perasaan cinta selama berjam-jam, kenapa kita tidak
boleh mendengar Al-Quran dan ayat-ayat suci Allah SWT ini selama berjam-jam.
Sekiranya kita lebih rela mendengar hiburan alunan
muzik dan lagu selama berjam-jam sudah pasti di sini kita boleh nilai dimanakah
kedudukan Al-Quran dalam kehidupan kita. Hari ini kita melihat orang lebih rela
membayar tiket ratusan dan ribuan ringgit untuk pergi ke konsert mendengar lagu
dan muzik berbanding pergi ke majlis tilawah Al-Quran yang menawarkan tempat
duduk percuma tanpa bayaran. Jadi, persoalannya di manakah Al-Quran dalam
kehidupan kita.
Oleh itu, kita sebagai umat Islam hendaklah
memperbetulkan kembali sikap kita terhadap Al-Quran. Jadikanlah alunan
ayat-ayat suci Al-Quran itu sebagai bahan wajib untuk kita dengar setiap hari.
Tidak salah untuk kita berhibur tetapi janganlah hiburan itu melalaikan kita
daripada mendengar ayat-ayat suci Al-Quran. Inilah kalam Allah SWT yang padanya
mengandungi panduan dan pedoman untuk kita mendapat kehidupan yang diredhai
oleh Allah SWT.
Sekianlah sahaja tazkirah ringkas dari saya. Mudah-mudahan apa yang
disampaikan ini boleh dijadikan renungan dan panduan untuk semua. Ampun dan
maaf atas kesilapan dan kesalahan. Wallahua’alam. Wabillahi taufik wal hidayah
wassalamualaikum wr. Wb.
(tazkirah ini saya sampaikan dalam rancangan "Raikan Jiwa" di Radio Johor.FM)